Thoughts

[Review] Fun Home - Pementasan Suatu Pengakuan Yang Tak Direncana

4 Nov 2017
Article by
Photos by Crispian Chan

Fun Home merupakan sebuah muzikal keluarga disfungsi didukung dengan lakonan semula jadi dan lagu-lagu yang bukan sahaja melengkapkan jalan cerita tetapi mampu melekat di ingatan penonton selepas meninggalkan Drama Centre yang cukup watt penyaman udaranya

11 20171104 Fun Home1

Berlatar-belakangkan zaman 70an, Fun Home memaparkan reka bentuk set yang cukup padat serta menepati suasana pada zaman itu. Set ruang tamu bertukar menjadi set bilik asrama serta penggunaan ruang vertikal di Drama Centre membolehkan para pelakon berpakaian fesyen preppy dengan kolar besar dan seluar kembang, berlegar di setiap sudut pentas menjadikannya seolah-olah rumah mereka sendiri. 

Pangdemonium sememangnya antara kumpulan teater tersohor di Singapura terutama sekali jika dinilai dari segi teksturnya. Sejak Circle Mirror Transformation pada 2015, saya senantiasa terpaku dengan konsistensi persembahan kumpulan ini. Fun Home merupakan muzikal Pangdemonium pertama saya kerana terlepas peluang menonton Rent tahun lepas. 

Berdasarkan skrip autobiografi Alison Bechel yang berjaya merangkul 5 Anugerah Tony termasuk Muzikal Terbaik, Fun Home yang dipentaskan buat pertama kali di Singapura lantas menggarap tumpuan penonton dari lagu pertamanya, meletakkan watak utama di dalam fokus seluruh muzikal dari awal sehingga ke babak terakhir. 

11 20171104 Fun Home2

Fun Home merupakan sebuah teater non-linear yang sering beralih dari realiti ke memori menggunakan banyak babak imbas kembali. Muzikal ini bukan sahaja tidak sengaja menyembunyikan klimaks jalan cerita malah peristiwa yang kebiasaannya dijadikan klimaks (kematian ayahnya, Bruce dan identiti Alison seorang lesbian) sudah diketahui oleh para penonton sejak awal lagi dalam dialog Alison. Namun begitu, ini tidak sedikit pun menghakis tarikan terhadap penonton untuk mengikuti perkembangan jalan cerita seterusnya. Saya sebenarnya amat mendambakan ketegangan dalam keluarga Bechdel ini diakhiri dengan pertembungan konfrontasi antara kedegilan Alison dan “angin” Bruce yang malangnya tidak berlaku. 

Watak utama Alison dimainkan oleh 3 orang aktres : kanak-kanak Alison (Elly Gaskell), kolej Alison (Elena Wang) dan dewasa Alison (Nikki Muller) yang masing-masing merupakan fasa utama dalam hidup Alison. Elly memainkan peranannya dengan comel sekali dan tidak dapat dipertikaikan daya penariknya terhadap penonton dengan nyanyian dan tariannya. Akan tetapi, Elenalah yang meninggalkan impak mendalam dengan mengetengahkan kekekokan Alison terutamanya dalam adegan come-out sebagai lesbian. Dalam kekekokan itu, Elena tidak pernah hilang tempo komedinya yang begitu menonjol jika dilihat dari tepukan gemuruh setiap kali Elena menuturkan punch linenya. Kebolehannya ini amat ketara sekali tatkala menyanyikan lagu “Changing My Major” yang juga merupakan kegemaran para penonton. Ketiga-tiga fasa hidup Alison ini menunjukkan penampilan Alison yang berbeza. Akan tetapi dengan nyanyian yang menyentuh perasaan dan lakonan yang cukup dihalusi serta dilapiskan dengan penuh kedalaman, Nikki berjaya mengilustrasikan zaman dewasa Alison dalam menghadapi kemelut hidupnya; menunjukkan kebolehan yang membezakannya dengan Alison yang lain. 

Walaupun cerita ini merupakan autobiografi Alison, ia juga berkisar sekitar ayahnya Bruce (dimainkan oleh pelakon berpengalaman Adrian Pang) yang bukan sahaja idolanya tetapi mimbar kekuatannya yang begitu penting dalam hidup dan keluarganya. Bruce begitu bangga sekali dengan rumah (keluarga?) di Maple Avenue yang dibinanya sendiri. Namun begitu, saya merasakan bahawa “rumah” ini sebenarnya merupakan topeng yang selama ini dipakainya untuk menyembunyikan hakikat tentang dirinya. Keinginannya untuk membeli dan mengubahsuai sebuah rumah usang tak jauh dari dari Maple Avenue boleh diambil kira sebagai hasrat Bruce untuk mengaku bahawa dia adalah seorang homoseksual dan mahu menjalani hidup sebenarnya dengan pengakuan identitinya itu. Pada akhirnya, sesiapa pun oleh membina rumah yang sempurna dari segi fizikalnya. Akan tetapi tidak kira betapa sempurna binaan itu, persoalan yang mustahak masih sama; adakah ia cuma sebuah rumah atau keluarga? 

11 20171104 Fun Home3

Peranan ibu tidaklah begitu diutamakan dalam pementasan ini tetapi nyanyian solo yang dibawakan dengan penuh perasaan oleh Monique Wilson berjaya menyampaikan kepiluan seorang ibu yang bukan sahaja bimbang dengan anaknya seorang lesbian tetapi juga terpaksa berdepan dengan hakikat bahawa suaminya juga seorang homoseksual. Ramai penonton begitu terharu dan tangisan sedu nyata kedengaran pada ketika itu. 

Sekali lagi, Pangdemonium berjaya mementaskan sebuah muzikal yang bukan sahaja menjana kegembiraan buat penonton tetapi juga pentingnya keluarga dalam hidup kita. Setiap keluarga mempunyai kelainannya; dan kelainan inilah yang patut dihormati dan dipelihara dengan kasih sayang yang tulus daripada setiap ahli keluarga.

------

About the reviewer
CK, a middle-aged uncle who loves theatre, movies, books, jazz and travel. Trying to write again in Malay, a language he was familiar with ages ago.

------

Fun Home by Pangdemonium
Date: 29 Sep 2017
Time: 8:00pm
Venue: Drama Centre Theatre
Visit event page

  • Fun Home

    Theatre 29 Sep - 15 Oct 2017 The 2015 Winner of five Tony Awards, including Best Musical, Fun Home is "a blazingly original heartbreaker, and a nonstop...
    Drama Centre TheatreDrama Centre Theatre

KEEP READING